Anjun

Anjun merupakan salah satu alat menangkap ikan yang dicipta seakan serupa seperti jaul. Perbezaannya hanyalah dari segi jumlah mata kail yang digunakan dan cara pengendaliannya. Anjun mempunyai lebih dari satu mata kail tertakluk kepada nelayan itu sendiri. Sesetengah nelayan ada yang menggunakan 5 hingga 10 mata kail, 10 hingga 20 mata kail dan seumpamanya.


Reka Bentuk:
Bahan binaan terdiri daripada nilon sebagai tali utama dan perambut, mata kail, pemberat dan kirikan. Proses pembuatan dimulakan dengan menyediakan antara tiga atau lima perambut (tertakluk kepada banyak mata kail yang akan digunakan) daripada nilon sepanjang lebih kurang 1 kaki setiap satu.

Pada setiap hujung perambut tersebut akan dipasangkan mata kail bersaiz 7 atau 8 tertakluk kepada jenis ikan yang hendak ditangkap. Setelah selesai, perambut yang dipasangkan dengan mata kail ini akan dipasang pada tali utama. Jarak antara satu perambut dengan perambut lain lebih panjang daripada panjang perambut iaitu lebih kurang 35 sentimeter bagi mengelakkan perambut ini tersangkut antara satu dengan yang lain. Kemudian dipasangkan pemberat daripada timah atau batu pada hujung tali utama.

Anjun
(Sumber: Kajian Lapangan)

Operasi Melaksanakan:
Anjun dilakukan di kawasan yang jauh dari pantai yang mempunyai kedalaman perairan kira-kira 25 meter hingga 30 meter atau lebih tertakluk kepada kepanjangan anjun yang digunakan. Operasi penangkapan ikan dimulakan dengan memasang umpan pada kesemua mata kail. Umpan yang digunakan biasanya terdiri daripada ikan kecil seperti tamban, aur-aur dan basong-basong. Sesetengah nelayan hanya menggunakan umpan tiruan.

Setelah selesai memasang umpan barulah anjun ini dicampakkan atau dilabuhkan ke air sehinga batu pemberat sampai ke dasar laut. Kemudian tali utama akan ditarik-tarik atau dimain ke atas. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian ikan. Perbuatan menarik-narik ini dipanggil “menganjun”. Biasanya dalam sekali labuh anjun ini akan mendaratkan tiga hingga lima ekor ikan.


Hasil Tangkapan:
Antara spesis ikan yang didaratkan ialah geronggong, ikan merah, ketambak, kerapu, kerisi, kapas-kapas, ikan takat, ikan putih dan sebagainya