Pukat Tunda

Pukat tunda merupakan salah satu kaedah utama untuk mendaratkan lebih banyak sumber perikanan.

Pukat tunda Vesel menggunakan enjin dalam diesel dilengkapi alat elektronik seperti radar, GPS, echo-sounder dan alat perhubungan radio VHF. 

Pada bahagian atas vesel ini, dilengkapi winch, net drum dan empat buah petak menyimpan ikan.

Kapal Pukat Tunda
(Sumber: Kajian Lapangan)


Reka Bentuk:
Reka bentuk jaring pukat tunda terdiri daripada keroncong, badan dan dua sayap. Pukat ini diperbuat daripada polyethylene. Saiz mata pukat yang digunakan adalah 51 milimeter.

Ukuran pukat daripada pembukaan pukat hingga hujung keroncong kira-kira 30 hingga 35 meter panjang dan ukuran dari hujung sayap kiri hingga sayap kanan kira-kira 28 hingga 30 meter.

Di sebelah atas dan bawah pada bahagian sayap dan pembukaan pukat akan dipasangkan tali kajar atas dan bawah yang diperbuat daripada tali 'polypropylene'.


Pukat Tunda
(Sumber: Kajian Lapangan)
Rupa Bentuk Pukat Tunda
(Sumber: Buku Peralatan Menangkap Ikan Di Malaysia)
Pelampung bulat berukuran 20 milimeter garis pusat dipasangkan pada tali kajar atas yang berfungsi untuk membuka pukat semasa ditunda. Pada tali kajar bawah pula dipasangkan rantai yang berfungsi sebagai pemberat. Pada bahagian hujung kedua-dua sayap pukat tersebut dipasangkan dua tali penghantar sepanjang 10 meter.


Operasi Melaksanakan:
Operasi pukat tunda memerlukan empat hingga enam orang nelayan. Dimulakan dengan mencari kawasan yang dipercayai banyak sumber ikan dengan menggunakan echo-sounder.

Setelah menjumpai kawasan yang sesuai, bahagian keroncong pukat akan diturunkan dari buritan vesel. Kemudian vesel akan bergerak perlahan-lahan dan bahagian badan dan sayap pukat akan turun dengan sendirinya, diikut oleh tali penghantar, papan kepak dan akhir sekali tali tunda.

Semasa menunda, pukat tunda akan terbuka dengan sendirinya hasil daripada tindakan pelampung di tali kajar atas dan papan kepak.

Operasi Pukat Tunda
(Sumber: Buku Peralatan Menangkap Ikan Di Malaysia)

Pukat tunda akan ditunda antara satu hingga dua jam dengan kelajuan lebih kurang tiga knot. Operasi menaikkan pukat tunda dilakukan dengan menarik tali tunda dengan menggunakan winch. Tali tunda yang ditarik akan tergulung dengan sendirinya pada net drum. Setelah selesai menarik tali tunda, papan kepak akan dibuka dan diletakkan di bahagian tepi vesel.

Kemudian tali penghantar akan disambung dengan tali tunda untuk ditarik bersama pukat tunda dan barulah tali pengikat keroncong pukat tunda dibuka untuk mengeluarkan hasil tangkapan. Hasil tangkapan akan dimasukkan ke dalam petak-petak menyimpan ikan yang mengandungi ais batu. Operasi ini dijalankan selama empat hari tiga malam.


Hasil Tangkapan: 
Antara spesis ikan yang didaratkan daripada pukat tunda ini ialah seperti ikan merah, berah-berahan, ketambak, ikan takat, ikan putih, kerisi, udang dan sebagainya.