Rawai

Rawai adalah salah satu alat menangkap ikan yang sangat mudah dan juga boleh digunakan bagi satu tempoh masa yang lama kerana ketahanan alatnya.


Reka Bentuk:
Rawai terdiri daripada seutas tali yang panjang, diikat dengan  beberapa mata kail di sepanjang tali tersebut mengikut jarak-jarak yang tertentu. Di setiap penghujung tali tersebut, terdapat satu pelampung yang digunakan sebagai tanda.

Rawai
(Sumber: Buku Peralatan Menangkap Ikan  Di Negara Brunei Darussalam 1906-2003)

Rawai mempunyai 3 bahagian yang penting iaitu:
·      1) Talinting (tali ibu)
·      2) Perambut
·      3) Pamata

Talinting diperbuat daripada tali tangang sepanjang 70 meter hingga 100 meter. Setiap satu setengah meter akan dipasang perambut yang diperbuat daripada benang panjang kira-kira satu meter dan diikat pada talinting.

Manakala pamata pula diperbuat daripada jejari roda basikal atau potongan dawai yang dipasang pada bahagian hujung perambut. Lazimnya jumlah pamata yang digunakan adalah sebanyak 35-51 unit. Antara lain alat yang digunakan ialah pelampung yang diperbuat daripada kayu pulaie atau buluh tebal dan juga alat pemberat iaitu batu atau besi.


Operasi Melaksanakan:
Kedua-dua bahagian talinting akan dipasangkan pelampung (dengan tali sepanjang 5 meter dan pemberat dengan tali kira-kira 2 meter). Pemberat akan diturunkan secara perlahan-lahan ke dalam air dan barulah melabuhkan pelampung dan rawai yang telah siap diikat dengan umpan.

Operasi Merawai
(Sumber: Buku Peralatan Menangkap Ikan Di Negara Brunei Darussalam 1906-2003)

Kawasan Tangkapan:
Rawai biasanya digunakan di kawasan perairan yang dalam atau cetek, berbatu karang dan tidak mempunyai arus yang deras. 


Hasil Tangkapan:
Ungah, bakalang, ikan merah, ikan putih, pari, ikan takat, kerapu, ketambak dan sebagainya.